Apr 9, 2009

Disebalik Fotografi

Photobucket



Apabila memilih jurugambar untuk merakamkan gambar majlis anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut adalah 5 kos utama yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:

1) Kos Peralatan Kamera
Untuk menghasilkan gambar yang baik memerlukan kamera berkualiti.
Satu set kamera (DSLR) yang baik boleh mencapai lingkungan RM 10,000. Selain kos pembelian, kos pemeliharaan juga penting. Set ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Faktor kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka dan ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.

2) Kemahiran Jurugambar
Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi.
Selain itu, kemahiran lain juga penting seperti kreativiti, komunikasi, dan citarasa yang tinggi. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.

3) Masa Perkhidmatan
Jurugambar adalah satu profesional. Samada sepenuh atau separuh masa. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ertinya, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar dan kerana itulah perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.

4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk sesuatu majlis, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja.
Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, dan komposisi Barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar akan dialbum sebelum diserahkan kepada pelanggan.

5) Kos material
Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan, album, bil telefon, serta lain-lain kos peniagaan.

Dengan mengetahui kos yang terlibat dalam menghasilkan sesebuah gambar, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walauapa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.

0 komen:

 

Copyright © Arzlie-Alya. Designed by Whitey Mommy