Feb 14, 2011

Entry Untuk Amcar

This entry is tribute to my cutest son amcar. Dah lama asyik wat entry to pengantin or entry pasal rumahtangga... so untuk kali nie nak memotivatekan kembali diri sendiri untuk menjadi mama a.ka. parent  yg cemerlang. Juga sesuai untuk kawan2 yang bakal menjadi parent. Sharing is caring.


Cuba fahami bahasa anak kita
Mulakan dengan bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan perhatian kepada anak. Jangan bertanya sambil lewa tetapi pandang muka dan tatap matanya dengan penuh kasih sayang. Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan anak? Perhubungan mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.

Sebaik sahaja pulang bekerja dan mengambil anak dari pusat jagaan, luangkan masa terlebih dahulu bersama anak
Jangan terus ke dapur untuk memasak atau mengangkat kain di ampaian. Berikan perhatian pertama kepada anak. Tanyakan apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama pembantu rumah atau di tadika. Nyatakan di telinganya yang anda sangat sayangkannya. Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri untuk ke dapur. Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya sudah diperoleh.

Ajarkan perkataan "tunggu sebentar boleh?"
Sekiranya anak perlukan sesuatu dan kita tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur cuba berinteraksi sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tidak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya anda sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan orang tua. Kita tidak boleh mengharap dia patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan dia demikian. Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita.

Cuba fahami personaliti anak anda
Setiap anak dikurniakan Allah dengan personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian. Oleh itu, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya atau bertepuk tangan jika dia menyanyi. Bagaimanapun, anda boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit tidak bagus. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari. Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai perbuatan itu.

Sentiasa ingatkan diri anda mengenai keletah anak yang menghiburkan
Tumpukan perhatian anda kepada kelebihan itu. Jangan mengingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang. Bayangkan anak dengan semua sifat positif yang anda inginkan setiap kali berinteraksi dengan anak. Juga boleh berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut pada ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan anda kepadanya.

Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari
Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh). Adakah terdapat mereka yang membawa unsur negatif? Jika ada, sebolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.

Jangan memarahi anak dengan menengking, memaki, mengejek & merotan

Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras. Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibu bapa memarahi mereka, maka semakin kuat pemberontakan mereka. Anak-anak pada usia ini tidak 'makan' dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka. Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.

besar nanti amcar nak jadi imam muda!

Semoga bermanfaat~

0 komen:

 

Copyright © Arzlie-Alya. Designed by Whitey Mommy