Jun 21, 2011

Rangsangan anak bijak - Sempena Birthday Amcar ke-2!

Tahukah anda menurut pakar, perkembangan bayi pada tahun-tahun pertama kehidupan merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Kita sebenarnya tidak perlu pun pada muzik-muzik klasik macam orang-orang barat tu, atau pita-pita belajar bahasa atau segala jenis kad imbas untuk merangsang otak kanak-kanak nie. Alat pembelajaran terbaik ialah diri kita sendiri - ibu dan bapa. Bercakap, menyanyi dan ketawa... jenis-jenis interaksi harian begini yang lebih penting sebenarnya. Berikut adalah sedikit sebanyak dari 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains!) yg disyorkan, tapi tak larat la nk muat sampai 50, so hanya di sharekan tips yang paling simple dan paling selalu kami praktikan, barula cakap serupa bikin...semoga dapat membuahkan hasil dan membentuk anak yang cergas, cerdas dan soleh semestinya - amin!

1-BERTENTANG MATA & BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Apabila mata si kecil terbuka luas, lihat dalam-dalam anak matanya. Anak kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting sebab setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya. Cuba pula bercakap-cakap dan berhenti sebentar antara ayat untuk menggalakkan si anak memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan tadi. Menarik kan?


2-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi. Sila tolak mitos menyusukan bayi adalah susah, renyah & menyebabkan bentuk badan tak menarik. London weight management kan dekat aje.....


3-GELETEKLAH ANAK ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa merupakan langkah pertama dalam perkembangan humor anak anda, 'cak cekur' dan 'tan tan lukut' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku. Kita pun boleh sama-sama terhibur bila tengok si anak gelak tak henti-henti. Lebih kurang terapi stress jugak tue.


4-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah anda anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi atau stroller dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. Contoh: "Tengok anak kucing tu..." atau "Besarnya pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata secara tak langsung prihatin keadaan sekeliling. Penting sebab zaman sekarang anak2 muda selalu taksub dengan dunia sendiri - melalut...


5-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang boleh atau rekalah lagu sendiri ("satu -satu Amcar sayang Allah, dua-dua sayang rasullulah, tiga-tiga sayang papa mama, satu-dua-tiga Amcar sayang semua...."). Hehhee...nie la lagu rasmi kami. Cuba cipta lagu sendiri plak. Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik. Baru anak kita pun boleh jadi macam adi putra!


6-PERGI MEMBELI-BELAH

Bila kita perlukan rehat, terutamanya pada si ibu2 yang gemar ber"window shopping", lawatlah pasaraya. Orang ramai, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan si anak. Tak perlu lokek berlanjakan token 50sen utk si anak yang sukakan merry go round. Amcar sendiri sangat suka naik kereta lumba, tapi bila taruk token terus lompat keluar, takot!


7-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA

Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah nasi, bijirin, cebisan daging dikisar, ataupun gula-gula pelbagai warna. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya. Cuba lihat reaksi wajahnya bila "terkena" makanan yang pedas atau masam. Tapi jangan lupa sediakan air minuman yang secukupnya...


8-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya. Kalau sukar dapatkan cawan plastik, tapak tangan pun boleh kemudian suruh si anak meneka samada di sebelah kanan atau kiri. Hadiahkan ciuman bila dia berjaya meneka dengan betul. Ini dapat mengalakan si anak melakukan perkara yang disukai dan eratkan kasih sayang.


9-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya si anak dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: contoh - cd apa yang ingin di tonton ketika waktu makan. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira dan dirinya penting dalam sesbuah keluarga - Amcar pun dah pandai demand design kek besdaynya sendiri.


10-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan anak memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih praktikal daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Si anak dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya. So far Amcar paling suka jadikan papa sebuah motorsikal atau seekor gajah!


11-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak anak tangga dalam rumah anda atau jari jemari tangan dan kakinya atau bilangan sudu susu tepung untuk minumannya. Kira dengan kuat dan perlahan-lahan dan pasti dia akan mengikut anda.


12-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan anak anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar atau paling mudah jadikan wallpaper pada skrin komputer kita. Mula-mula bantu anak menghafal suma wajah ahli keluarga, lama-kelamaan si anak sendiri yang dapat menentukan wajah-wajah tersebut. Juga sangat berkesan untuk merapatkan hubungan si anak dengan keluarga terdekat.


13-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video anak anda mandi, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahasa dan memorinya. Amcar sendiri ada beberapa koleksi video mandi di kolam ketika bercuti dan sambutan hari lahir. Perhatikan saat dia menonton video tersebut - sangat khusyuk!


14-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan dan ajarkan beberapa serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, semut, rama-rama) di dalam majalah,buku atau secara live kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya. Kalau tak cukup masa di halaman sendiri pun boleh, amcar sekarang pantang tengok semut...mesti dipijaknya dan sudah pandai ada haiwan peliharaan - cicak belakang kabinet dapur.


15-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian, menutup pintu atau mencari remote tv bila papa terlupa letaknya. Secara tak langsung boleh mengajar erti bertanggungjawab dan peka pada keadaan sekeliling. Kadang-kadang si anak pula yang lebih teruja membuat sesuatu tanpa diminta, contoh kes - Amcar kalau nampak aje batang penyapu mesti nak sapu sampah.


Selamat mencuba dan semoga mendapat hasil yang di harapkan. Saat dengan si manja sesungguhnya sangat mengujakan dan tak mungkin dapat di ulang lagi. Selamat Hari Ulangtahun yang ke-2 untuk anakanda tersayang Amsyar Muzaffar.





0 komen:

 

Copyright © Arzlie-Alya. Designed by Whitey Mommy