Tabarru’ bolehlah diertikan sebagai suatu bentuk derma yang diberikan oleh satu pihak sahaja dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Ianya dianggap sebagai amalan terpuji dalam Islam kerana banyak manfaat yang bakal diperolehi dengan syarat ianya mesti disertakan dengan niat yang ikhlas.
Tabarru’ dalam aplikasi Insurans atau lebih dikenali sebagai Takaful lebih menjuruskan sumbangan para peserta Takaful di dalam satu dana di mana dana tersebut berfungsi untuk menyumbangkan bantuan sumbangan kepada mana-mana peserta yang terdahulu ditimpa musibah.
Dalam hal ini, sumbangan Tabarru’ yang telah disumbangkan itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta kerana ianya merupakan sumbangan yang telah didermakan. Keunikannya ialah ianya berfungsi untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah sebagaimana yang telah dipersetujui.
Sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan Tabarru’ tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa di dalam Islam. Tiada istilah ’wang hangus’ diutarakan kerana ianya wang derma yang bakal menerima ganjaran dariNYA.
Jika dilihat dari kacamata Islam, adalah sangat-sangat menggalakkan umatnya agar melakukan derma dan amal jariah kerana amalan ini sangat dipuji di dalam Islam. Banyak dalil-dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firmanullah s.w.t.:-
"Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim."
(Surah al-Baqarah:254)
0 komen:
Post a Comment